Advertisement

HUKUM HUTANG

ana mahu tanya...jika ada seseorang nie hutang dengan kita..tetepi kita tidak mahu ungkit tentang hal itu untuk menjaga perasaan dia tetapi dia tidak pernah merasa dirinya begitu terhadap ana..maksud ana...perkara tu kan atas kehendak ana sendiri..



Jawabnya, apabila seseorang itu berhutang dengan seseorang, maka menjadi Wajib ke atas dirinya untuk menjelaskan hutangnya apabila telah sampai tempoh masa yang dijanjikan.

Contohnya, Ahmad telah meminjam duit dari Azzhar. Ahmad juga telah berjanji untuk membayar duit yang di pinjamnya itu pada hari Jumaat ini. Maka, menjadi Wajib ke atas Ahmad untuk membayar hutangnya pada hari Jumaat ini kepada Azzhar. Sekiranya penghutang membayar hutangnya awal daripada hari yang dijanjikannya kepada pemberi hutang, maka hukumnya adalah Sunat.

Apabila berhadapan dengan orang yang terlupa untuk membayar hutangnya, maka pemberi hutanglah yang patut mengingatkan tentang hutang tersebut. Pemberi hutang tidak sepatutnya menyalahkan penghutang sepenuhnya kerana kemungkinan penghutang sememangnya seorang yang pelupa.


Ada sesetengah orang yang berpandangan tidak elok jika pemberi hutang meminta hutangnya daripada penghutang. Pada hakikatnya, meminta hutang daripada penghutang adalah Harus. Apabila sudah sampai tempoh masa yang telah dijanjikan untuk di bayar hutang tersebut, tetapi penghutang masih juga tidak datang untuk membayar hutangnya, maka kita sebagai pemberi hutang Harus pergi menemuinya untuk mendapatkan duit yang dipinjamnya itu.

Tidak salah perbuatan meminta hutang kerana duit yang dipinjam itu adalah hak pemberi hutang, bukannya hak orang lain. Kita sebagai pemberi hutang sebaiknya perlu juga memahami keadaan penghutang. Kemungkinan penghutang mempunyai masalah kewangan, maka berilah tempoh masa beberapa hari atau sebagainya supaya penghutang dapat mengusahakan sesuatu untuk menyelesaikan hutangnya. Sekiranya penghutang kerap kali menangguhkan bayaran hutangnya sehinggalah menyusahkan pemberi hutang, maka perbuatan tersebut hukumnya adalah Haram.

Jika penghutang masih tidak menyelesaikan hutangnya sehinggalah dia meninggal dunia, maka hendaklah di ambil duit daripada bahagian harta pusakanya untuk menyelesaikan hutangnya. Hutang tetap Wajib diselesaikan. Disebabkan itulah, sekiranya berlaku kematian, Sunat waris si mati membuat pengumuman kepada orang ramai supaya mendapat duit daripada mereka sekiranya si mati ada berhutang dengan sesiapa. Pengumuman itu boleh di buat ketika waktu sebelum solat jenazah, selepas solat jenazah atau mana-mana keadaan yang difikirkan sesuai.


Sekiranya kita jenis yang tidak suka untuk mengungkit pertolongan yang telah kita berikan atau kita terlalu ingin menjaga hati penghutang, risau penghutang terasa hati apabila kita meminta di selesaikan hutangnya, seperti dalam situasi saudari ini, maka halalkan sahaja duit yang di pinjamnya itu. Hikmah daripada situasi ini, kemungkinan Allah datangkan manusia seperti ini dalam kehidupan kita untuk menguji sejauh mana kesabaran kita dalam menjaga hubungan sesama makhluk. Yakinlah, setiap perkara yang berlaku tiada yang sia-sia. Setiap darinya terkandung hikmah dan kebaikan. Semuanya dalam perancangan Allah.

Jauhilah daripada amalan berhutang. Sekiranya kita mula berjinak-jinak dengan amalan berhutang, tidak mustahil lama kelamaan kita semakin suka berhutang sehinggalah sampai suatu masa menjadi suatu bebanan untuk selesaikan semua hutang tersebut. Sekiranya kita tidak selesaikan semua hutang di dunia ini, bayangkan bagaimana keadaan kita di akhirat kelak? Kita tidak sesekali akan terlepas selagi hutang tidak di bayar. Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawab bagi tiap-tiap perkara yang telah kita lakukan di dunia ini.

Allahu a'lam.

Ditaip oleh Azzhar Addin pada Rabu, Jun 29, 2016. 

Sebarang persoalan boleh nyatakan di bahagian comment atau boleh juga rujuk saya di alamat Facebook ini:

* Mohon disebarkan. Moga setiap yang membaca peroleh manfaat darinya dan setiap yang menyebarkan peroleh manfaat darinya juga. Insya-Allah.
HUKUM HUTANG HUKUM HUTANG Reviewed by Ustaz Addin on 10:01:00 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.